Caught this on Berita Harian today.
KUALA LUMPUR: Sebuah kapal perang Portugis kurun ke-16 dikesan di dasar laut, kira-kira empat batu nautika dari muara Sungai Melaka, iaitu penemuan pertama membabitkan kapal seumpama itu di perairan negara ini.
Penemuan itu juga bakal mencatat sejarah sebagai kapal Eropah tertua yang ditemui di perairan negara.
Berdasarkan penelitian awal ke atas beberapa artifak, seperti meriam gangsa dan peluru yang ditemui 32 meter di bawah permukaan laut, kapal itu dipercayai diperintah Admiral Coutinho.
Kapal itu dikatakan tenggelam selepas bilik peledaknya meletup ketika bertempur dengan tentera Aceh yang menyerang Melaka di bawah kuasa Portugis pada 1583.
Difahamkan, Jabatan Warisan Negara dan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) meninjau lokasi penemuan kapal itu hari ini sebelum membuat perancangan mengeluarkan artifaknya.
Pasukan itu dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara, Prof Datuk Dr Zuraina Majid, ketika dihubungi berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Perzim mengeluarkan artifak itu.
Rangka kapal itu dikatakan ditemui seorang penyelidik, Dr Micheal Flecker, yang membuat penyelaman pada 2005 tetapi penemuan itu hanya didedahkan dalam artikel terbitan Majalah Heritage Asia keluaran Januari-Mac ini.